NAJIB HILANG 'ORANG KANAN'
Wednesday, 14 October 2015

SHAH ALAM - Kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membelenggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja menyebabkan dirinya tidak mendapat sokongan rakyat bahkan 'orang kanannya' sendiri,
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia dapat dilihat apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal turut serta dalam sidang media bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
"Semalam adalah bukti nyata bahawa pendirian dan sikap Najib berhubung isu 1MDB tidak mendapat sokongan bahkan pula mendapat tentangan daripada orang kanan Umno dan BN sendiri khususnya apabila Timbalan dan Naib Presiden Umno yang turut serta majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kritikan Dr Mahathir dan beberapa pemimpin BN semalam terhadap kerajaan kerana didakwa menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ke atas Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang.
Dalam pada itu, Mohd Khairuddin juga menyokong pendirian lima pemimpin itu sambil menyifatkannya ia adalah manipulasi peruntukan undang-undang sedia ada.
"Saya serta seluruh rakyat Malaysia menyokong penuh kenyataan bersama enam tokoh Umno-BN ini dan mendesak agar pertuduhan ke atas Khairuddin serta peguamnya, Chang digugurkan," ujarnya.
Beliau berkata lagi, penyalahgunaan peruntukan undang-undang itu sudah menjadi budaya pemimpin Umno-BN untuk mengekalkan pemerintahan di negara ini sejak dahulu lagi.
"Malangnya, amalan mempergunakan undang-undang untuk bertahan sebagai kerajaan di negara ini sudah menjadi budaya Umno-BN sejak sekian lama sehingga sukar untuk transformasi politik berlaku secara efektif dan komprehensif," dakwanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengalu-alukan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar untuk membongkarkan kebenaran di sebalik skandal kewangan 1MDB.
"Keberanian dan ketegasan Tan Sri Zeti diperlukan untuk memulihkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa yang telah terjejas teruk akibat skandal yang turut dikaitkan Perdana Menteri sendiri," katanya lagi. - SINAR HARIAN