Tiga Korban Dihempap Papan Tanda Lebuh Raya

Tiga Korban Dihempap Papan Tanda Lebuh Raya
Share

TANJUNG MALIM – Tiga orang terbunuh selepas kereta dinaiki dihempap papan tanda tumbang akibat dilanggar treler yang terbabas di Kilometer 399.6 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Tanjung Malim kira-kira jam 6.30 pagi Sabtu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kejadian membabitkan treler dan kereta.

“Tiga mangsa terlibat iaitu pemandu serta penumpang kereta tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Mangsa yang maut seorang lelaki dan dua wanita telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru di Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat pada pukul 7.26 pagi.

Berikutan kejadian, semua lorong menuju utara dan selatan terhalang mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh dua kilometer.

Berdasarkan Twitter PLUS pada 10.44 pagi, lorong tengah dan kiri arah utara sudah dibuka.

Terdahulu, berdasarkan Twitter PLUS pada 9.55 pagi, semua lorong arah selatan sudah dibuka. – myMetro Online

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel