"MAMA, KENAPA KAK YA TAK PANDAI MACAM DIORANG SAMPAI KENA PULAU ?"

"MAMA, KENAPA KAK YA TAK PANDAI MACAM DIORANG SAMPAI KENA PULAU ?"
Share

Ini anak sulung saya. Dalam keluarga, dia lebih mesra dengan panggilan Kak Ya. Minggu lepas dia balik rumah dengan muka yang sedih. Saya tanya berkali-kali, namun dia hanya mendiamkan diri. Saya bagi dia masa sampai dia sendiri nak bercerita. 

Selang sejam kemudian, dia datang pada saya sambil memegang tangan saya. Dia beritahu yang dua orang kawan baiknya tidak mahu berkawan dengan dia lagi. 

Untuk pengetahuan semua, Kak Ya ini ada enam orang kawan baik sejak darjah satu lagi. Sebelum-sebelum ini apabila kawan-kawan dia bermasam maka, dialah yang bertindak untuk mendamaikan mereka. Tetapi bila sampai masa kena pada dia, dia seolah-olah buntu mencari kesalahan diri. 

Saya usap kepala dia, cakap dengan dia suruh pergi tanya kawan-kawan dia yang dua orang itu apa sebabnya. Mungkin dia ada buat salah dan jika ada, saya suruh dia minta maaf. 

Semalam dia balik sekolah, saya terus tanya dia dah tanya atau belum kawan-kawan dia itu. Ini dialog saya dengan Kak Ya: 

Mama: Kak Ya dah tanya ke kawan-kawan Kak Ya pasal apa depa tak mahu kawan? 

Kak Ya: Dah mama (sambil menundukkan mukanya). 

Mama: Depa cakap apa? 

Kak Ya: Kalau Kak Ya beritahu, mama jangan marah kawan-kawan Kak Ya ye? 

Mama: Okay, mama janji (dalam hati agak berdebar). 

Kak Ya: Si A dengan si B tak kawan dengan Kak Ya sebab mama diorang tak izinkan diorang berkawan dengan orang yang tak pandai. Antara kami enam orang, Kak Ya saja tak sekelas dengan diorang. Diorang berlima satu kelas. Mama, kenapa Kak Ya tak pandai macam diorang? Kalau tak, mesti si A dan si B tak pulaukan Kak Ya. 

Allah, dan-dan mengalir laju air mata saya. Sebab di hati tidak terungkap dengan kata-kata. Saya tidak menyangka dalam zaman serba moden ini masih ada ibu bapa yang sanggup mengajar anak seperti itu. 

Di usia muda seperti itu sudah mengajar anak double standard. Kalau anak saya nakal, saya tak kisah kawan-kawan menjauhkan diri mereka tetapi hanya disebabkan Kak Ya bukan dalam kelas yang terpandai, dia disisihkan kawan-kawan. 

Inilah antara kesan bila pelajar diasingkan mengikut standard atau result exam. Saya faham, dari aspek pelajaran, guru-guru mudah mengajar kalau sudah diasingkan mengikut kemampuan pelajar. Tetapi dari segi emosi dan pembentukan sahsiah diri pelajar itu, agak kurang relevan cara pengasingan itu. 

Saya tarik Kak Ya dalam dakapan saya. Saya usap kepala dia dan saya beri kata-kata semangat pada dia agar terus berusaha untuk sama-sama menjadi pandai seperti kawan-kawannya yang lain. Tetapi saya titipkan nasihat. 

"Kalau Kak Ya dah pandai, jangan pandang rendah pada kawan-kawan yang kurang pandai. Kak Ya kena bantu kawan-kawan untuk sama-sama menjadi pandai seperti Kak Ya,". 

Dia mengangguk laju. 

Sungguh saya bukanlah ibu yang sempurna. Dalam kesibukan mencari rezeki di samping keadaan kesihatan yang adakalanya tidak mengizinkan, saya terkhilaf. Dalam mendidik anak-anak juga mungkin saya terlalu berlembut. Saya letakkan semua kesalahan pada saya. Cuma saya sangat-sangat bersyukur apabila naik darjah 4, Kak Ya sudah semakin fokus dan dapat saya lihat dari result-result exam sebelum ini yang semakin memberangsangkan. 

Saya tidak pernah malu mengaku dialah anak yang terbaik untuk saya yang serba tak sempurna ini walaupun dia bukan di kelas yang terpandai. Bagi saya, cukuplah Kak Ya membesar menjadi anak yang baik dan tidak lupa pada ibu dan bapa. Untuk masa depan, semestinya saya mendoakan dia menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat. 

Tak pandai tak semestinya tak berjaya. Saya tengok ramai orang-orang yang berjaya hari ini bukanlah di kalangan yang bijak pandai. 

Akhir nukilan, saya mohon pada ibu bapa di luar sana, jangan sesekali mengajar anak kita menyisih kawan-kawan yang mungkin tidak sebijak anak-anak anda. Anak-anak anda mungkin bijak hari ini tetapi akan datang hanya Allah yang boleh menentukan. - SUMBER 

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel