ME'NATE STEAK DI FITNAH ISU VIRAL BIL MAKAN MALAM PM
Monday, 25 January 2016

Me`nate Steak Hub hari ini menafikan mengenai laporan yang tersebar di media sosial mengenai tanda harga daging berjumlah RM19,284.80, yang kononnya disediakan untuk hidangan makan malam di Seri Perdana.
Dalam satu kenyataan, Me`nate menyatakan semakan yang dilakukan mendapati tanda harga tersebut adalah palsu dan tidak terdapat dalam sistem inventori restoran berkenaan.
“Tanda harga dan nota tersebut semacam untuk dipamerkan dan tidak sama dengan tanda harga standard yang digunakan oleh Me`nate Steak House di semua outlet kami, ditambah pula semua tanda harga kami mempunyai barcoding tersendiri, berbeza dengan apa yang telah diviralkan.
“Hidangan yang dipamerkan juga tidak masuk akal. Jika makan steak dan matsusaka, manakan boleh ada nasi dan lauk pauk lain,” kata restoran berkenaan dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Baru-baru ini tersebar fitnah di internet kononnya harga makan malam di rumah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bernilai lebih RM19,000. Kononnya pendedahan itu dilakukan oleh tukang masaknya.
Menurut Me`nate, gambar tukang masak berkenaan juga bukan tukang masak restoran tersebut. Susulan itu, restoran terbabit akan mendapatkan nasihat peguam untuk menasihatinya mengenai tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap penyebar fitnah terbabit.
Restoran itu juga menegaskan akan membuat laporan polis sekiranya fitnah itu tidak dihentikan segera.
“Kami berasa amat kecewa dengan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik untuk mengheret kami ke dalam kancah politik fitnah yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.