POTONG KEMALUAN: ISTERI MENGAKU MASIH SAYANG SUAMI
Friday, 22 January 2016

Bandar Seri Jempol – Wanita tempatan yang memotong kemaluan suaminya, warga Pakistan, sehingga putus semalam, mengaku masih menyayangi lelaki itu.
Ini berdasarkan pengakuan wanita berusia 51 tahun itu yang kini ditahan reman sejak semalam sehingga 26 Januari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata wanita itu mendakwa melakukan perbuatan itu kerana tidak lagi dapat menahan sabar terhadap suaminya yang bertindak ganas ketika melakukan perhubungan seks.
Katanya, pemeriksaan terhadap wanita itu juga mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian tubuhnya.
“Dia mengaku sebelum kejadian itu, mereka melakukan perhubungan seks dan beberapa jam kemudian, bertindak memotong kemaluan suaminya,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian di pekan Batu Kikir dekat sini, kira-kira jam 1.40 pagi semalam, wanita terbabit memotong kemaluan suaminya yang berusia 44 tahun ketika tidur. Ini menyebabkan suaminya terpaksa menjalani pembedahan menyambungkan semula kemaluannya di Hospital Kuala Lumpur.