Nurullah AF2, suami terima ganti rugi RM80,000

Nurullah AF2, suami terima ganti rugi RM80,000
Share

Putrajaya – Bekas bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Nurullah Zawawi dan suaminya akan hanya menerima ganti rugi RM80,000 dalam kes saman fitnah terhadap TV3 dan empat yang lain.

Ini berikutan pasangan itu gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan hari ini untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM250,000 kepada RM80,000.

Pasangan itu pada 5 Sept 2011, memfailkan saman fitnah terhadap kesemua defendan tersebut berhubung status perkahwinan mereka yang disiarkan dalam program hiburan ‘Melodi’ pada 26 Jun 2011.

Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria, yang mengetuai panel tiga anggota hakim, memutuskan bahawa pasangan itu tidak boleh mendapat kebenaran untuk merayu kerana mereka gagal memenuhi Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau, yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusof Wahi, menolak permohonan mereka dan memerintahkan pasangan itu membayar kos guaman RM10,000 bagi prosiding mahkamah di Mahkamah Persekutuan.

Nurullah dan suaminya, Mohd Munzil Muhamad mengemukakan saman fitnah itu terhadap TV3, penerbit rancangan ‘Melodi’, Azman Abd Gahafar, wartawannya Michelle Wee Lili, Alt Media Sdn Bhd dan abang kandung Nurullah iaitu Bustamam Zawawi, selaku responden.

Mahkamah Rayuan pada 10 Julai 2014, menolak rayuan pihak responden terhadap liabiliti tetapi membenarkan rayuan mereka berhubung kuantum, dengan menyaksikan jumlah itu dikurangkan kepada RM80,000.

Pihak responden tidak meneruskan perkara itu di Mahkamah Persekutuan berkaitan dengan keputusan mengenai liabiliti oleh Mahkamah Rayuan.

Pasangan itu diwakli peguam Nadzarin Wok Nordin manakala pihak responden oleh peguam T.H. Liew. – Bernama

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel