Bapa Berang Kantin Sekolah Jual Mi Segera Goreng ‘Kosong’ RM1.50
Wednesday, 3 March 2021
Seorang bapa telah meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan kuantiti dan harga makanan yang dipercayai dijual di kantin sekolah anaknya.
Berdasarkan video pendek yang dikongsikan oleh Adam Azali di TikTok memaparkan sebungkus mi segera goreng yang didakwa dibeli oleh anaknya di sekolah dengan harga RM1.50. Menurut lelaki ini, anaknya yang berusia tujuh tahun itu pada awalnya menyangka makanan tersebut adalah mee goreng. Kanak-kanak ini kemudian membawa bungkusan makanan tersebut pulang ke rumah dan alangkah terkejutnya si bapa ini apabila melihat sebenarnya itu adalah mi segera dan bukannya mee goreng.
Dalam video tersebut, lelaki ini turut mempersoalkan harga dan kuantiti makanan yang dijual itu. Adakah ianya berbaloi untuk dibeli ataupun tidak. Jika dilihat daripada video tersebut, kuantiti mi segera goreng tersebut terlalu sedikit dan tidak padan dengan harga yang dijual. Dah lah sikit, tak ada bahan pula tu. Tambah lelaki ini lagi, nasib baik lah dia ada menyediakan bekalan makanan untuk anaknya.
Dalam ruangan komen, kebanyakan netizen memaklumkan bahawa pihak pengurusan kantin sekolah sepatutnya tidak dibenarkan menjual mi segera kerana ianya tidak baik untuk kesihatan kanak-kanak. Malah, tidak kurang juga ada yang memberi cadangan kepada lelaki ini supaya melaporkan kepada pihak sekolah berhubung isu tersebut.
Sumber: Adam Azali dan Ohbulan